7 MARTABAT NAFSU
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya"
Hadis Qudsi,firmanNya:
"Sesungguhnya
manusia itu rahsiaKu dan Akulah yang menjadi rahsianya.Dan rahsia itu
sifatKu dan sifatKu tiada lain, Aku lah jua"
Mengenai soal makrifat pula Allah berfirman dalam hadis Qudsi:
"Akulah
perbendaharaan yang tersembunyi.Aku ingin supaya dikenali(dimakrifati),
maka Aku jadikan alam ini,maka mereka makrifat kepadaKu"
FirmanNya lagi:
"Sesungguhnya Allah memrintahkan kamu (manusia) memulangkan amanah kepada yang berhak (Allah)"
Jadi
taraf kemuliaan sesorang hamba Allah itu adalah bergantung sejauh mana
taraf makrifatnya kepada Allah. Sekiranya kita berjaya mencapai tahap
sebenar-benar makrifat jadilah kita sebaik-baik makhluk sebagaimana
firmanNya:
"Sesungguhnya yang beriman dan beramal soleh, mereka itu adalah sebaik baik makhluk"
Tapi
sebaliknya sekiranya kita gagal untuk mengembalikan amanah untuk
makrifat maka jadilah kita sebagai mana yang di firmankan olehNya:
"Kemudian Kami kembalikan dia di tempat yang serendah-rendahnya"
Dan firmanNya lagi:
"Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk"
Baik buruknya manusia adalah bergantung kepada tahap-tahap kesucian batinnya atau nafsunya.
Nafsu mempunyai dua pengertian:
1.
Suatu pengertian yang meliputi segala tabiat-tabiat: spt. marah, nafsu
berahi dan syahwat serta semua yang keji seperti hasad dengki, riak,
dendam, sum'ah dan sebagainya. Nafsu ini ada juga pada binatang. Tapi
tiada sama sekali pada malaikat. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sejahat-jahat
musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung
engkau"
2. Makna yang kedua adalah berkaitan kejadian
"latifah rabbaniyyah' iaitu sesuatu yang batin yang tidak dapat dilihat
dengan mata kasar sebaliknya ia adalah melibatkan soal-soal kerohanian.
Jenis-jenis nafsu yang akan dihuraikan adalah:
1. Amarah
2. Lawammah
3. Mulhammah
4. Mutmainah
5. Radhiah
6. Mardhiah
7. Kamaliah
~~~~~ o O o ~~~~~
1. AMARAH
Amarah
adalah martabat nafsu yang paling rendah dan kotor di sisi Allah.
Segala yang lahir darinya adalah tindakan kejahatan yang penuh dengan
perlakuan mazmumah (kejahatan/keburukan). Pada tahap ini hati nurani
tidak akan mampu untuk memancarkan sinarnya kerana hijab-hijab dosa yang
melekat tebal, lapisan lampu makrifat benar-benar terkunci. Dan tidak
ada usaha untuk mencari jalan menyucikannya. Kerana itulah hatinya terus
kotor dan diselaputi oleh pelbagai penyakit.
Firman Allah:
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya"
"Sesungguhnya nafsu amarah itu sentiasa menyuruh manusia berbuat keji(mungkar)"
"Bahkan manusia itu hendak berbuat maksiat terus menerus)"
Dalam
kehidupan seharian segala hukum hakam, halal-haram, perintah dan
larangan tidak pernah di ambil peduli. Malah buat kejahatan itu sudah
sebati. Tidak ada penyesalan, malah kadang-kadang bangga buat jahat.
Contohnya dia berbangga dapat merosakkan anak dara orang, bangga dengan
kehidupan songsang, minum, berjudi, pergaulan bebas malah jadi barat
lebih dari orang barat. Bagi mereka pada peringkat nafsu ini, konsep
hidupnya adalah sekali, jadi masa mudalah untuk seronok sepuas-puasnya
tanpa mengenal batas-batas. Baik jahat adalah sama sahaja di sisinya
tanpa ada perasaan untuk menyesal. Malah kadang-kadang bila boleh buat
jahat seolah-olah terdapat perasaan lega dan puas. Itulah sebabnya
kadang-kadang ada yang dapat nak mengawalnya dari melakukan sesuatu yang
jahat. Dah jadi hobi. Hatinya telah dikunci oleh Allah sebagaimana
firmanNya:
"Tidaklah engkau perhatikan orang-orang yang
mengambil hawa nafsunya (amarah) menjadi Tuhan dan dia disesatkan oleh
Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu Allah mengunci
mati pendengarannya (telinga batin) dan hatinya dan penglihatannya (mata
hatinya) diletak penutup."
Manusia pada peringakat nafsu amarah ini
bergembira bila menerima nikmat tetapi berdukacita dan mengeluh bila
tertimpa kesusahan.
Firman Allah:
"Dan apabila Kami rasakan
sesuatu rahmat kepada manusia,nescaya mereka gembira dengan rahmat
itu.Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah akibat kesalahan tangan
mereka sendiri, lantas mereka berputus asa."
Jelasnya pada
peringkat ini segala tindak tanduknya adalah menuju dan mengikut apa
kehendak syaitan yang mana telah dikuasai sepenuhnya olehnya(Syaitan).
Rupa sahaja manusia, tapi hati dikuasai syaitan.
Pada peringkat
ini, manusia itu tak makan nasihat. Tegurlah macam manapun. Dia tetap
tak akan berubah kecuali diberi hidayah olehNya.
Mereka tidak pernah
takut pada Allah dan hari pembalasan. Malah meremehkan lagi ada.
Mengejek dan mencemuh. Mereka tidak pernah peduli dengan ancaman Allah
seperti:
"Akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam dari golongan
jin dan manusia yang mempunyai hati tidak memrhati,mempunyai mata tidak
melihat,mempunyai telinga tidak mendengar.Mereka itu adalah binatang
malah lebih hina dari binatang kerana mereak termasuk di dalam golongan
yang lalai".
Mereka suka mencela orang lain, memperbodohkan
kelemahan orang lain dan melihat dirinya sendiri serba sempurna. Mereka
tidak pernah menyandarkan hasil usahanya kepada Allah. Mereka fikir apa
sahaja kejayaan mereka adalah hasil titik peluh diri sendiri.
Jiwa mereka pada tahap ini adalah kosong dan hubungan dirinya dengan Allah boleh dikatakan tidak wujud.
Dalam
konteks penerimaan ilmu, orang yang bernafsu amarah hanya berupaya
menerima ilmu diperingkat ilmu Qalam. Terutamanya yang mementingkan
soal-soal lahiriah dunia sahaja. Tak ada minat kepada pelajaran agama
dan hari akhirat. Pada peringkat tidak ada peluang sama sekali untuk
menerima ghaib dan ilmu syahadah selagi hatinya kotor dan tidak
disucikan dengan pembersihan zikrillah yang mempunyai wasilah bai'ah
dengan Rasulullah s.a.w. Untuk membebaskan diri dari cengkaman nafsu ini
hendaklah menemukan jalan wasilah ilmu Rasulullah s.a.w dengan menerima
tunjuk ajar dari ahli zakir iaitu guru mursyid yang dapat memberikan
petua-petua penyucian diri dan penyucian jiwa yang mempunyai mata rantai
dengan Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiap sesuatu ada alat penyucinya dan yang menyuci hati ialah zikir kepada Allah "
Pada
tahap amarah ini kalau berzikirpun hanya dibibir sahaja tanpa meresap
ke dalam jiwa. Amarah tidak mengenal sesiapa, malah ahli kitab sekalipun
walaupun ada kelulusan Azhar, walupun berserban dan berjubah. Amarah
tidak pernah takut dengan itu semua malah lagi senang ia menyerang. Yang
ia takut hanyalah zikrillah.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya
syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia, maka apabila
manusia itu berzikir kepada Allah , maka mundurlah syaitan dan apabila
ia lupa, maka syaitan itu menelan hatinya"
2. NAFSU LAWWAMAH
Nafsu
lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri bila berlaku
suatu kejahatan dosa atas dirinya. Ianya lebih baik sedikit dari nafsu
amarah. Kerana ia tidak puas atas dirinya yang melakukan kejahatan lalu
mencela dan mencerca dirinya sendiri. Bila buat silap dia lebih cepat
sedar dan terus kritik dirinya sendiri. Perasaan ini sebenarnya timbul
dari sudut hatinya sendiri bila buat dosa, secara automatik terbitlah
semacam bisikan dilubuk hatinya. Inilah yang di katakan lawwamah.
Bisikan hati seseorang akan melarang dirinya melakukan sesuatu yang keji
timbul secara spontan bila terqosad sahaja dihatinya. Cepat rasa
bersalah pada Allah Rasulullah atas keterlanjurannya. Ianya ibarat
taufik dan hidayah Allah untuk memimpinnya kembali dari kesesatan dan
kesalahan kepada kebenaran dan jalan yang lurus. Rasulullah s.a.w
bersabda:
"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya sendiri"
"Barangsiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya, maka Allah akan menjadi pelinding ke atasnya."
Tapi
bila seseorang itu meningkat ke martabat nafsu lawwamah tapi tidak
mematuhi isyarat lawwamah yang memancar di hatinya, maka lama-kelamaan
isyarat ini akan padam dan malap. Hingga jatuhlah kembali pada tahap
nafsu amarah kembali. Sebab itu kadang-kadang kita tengok sekejap orang
tu baik, sekejap berubah jahat kembali. Kemudian berubah balik. Inilah
bolakan hati yang di sebabkan oleh keadaan nafsunya yang berubah-ubah.
Firman Allah:
"Dan
sesungguhnya jika kamu mengikuti (suruhan jahat) mereka setelah datang
ilmu (isyarat lawwa-mah) kepadamu, sesungguhnya kamu termasuk dalam
golongan orang-orang yang zalim"
"Sesungguhnya petunjuk Allah
ialah petunjuk yang sebenarnya.Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti
kemahuan (jahat dan keji) mereka , setelah ilmu diperolehi (datang
kepadamu) maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu".
Pada
tahap lawwamah ini masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah
tapi jumlahnya mulai berkurang sedikit. Keinsafan memancar. Sekiranya
dia terus mematuhi isyarat lawwamah yang ada, sedikit demi sedikit
sifat-sifat keji dapat dihapuskan. Pada peringkat ini dia banyak
meneliti diri sendiri dan merenung segala kesilapan yang lampau. Bila
perasaan menyesal datang, orang-orang pada peringkat sangat mudah
mengeluarkan air mata penyesalan. Kerap menangis dalam solat, atau bila
sendirian, sewaktu berzikir, bersolawat. Air matanya bukanlah
disengajakan tetapi berlaku secara spontan. Inilah dikatakan sebagai
tangisan diri. Pada peringkat ini mula banyak mengkaji dan meneliti alam
dan kejadian. Malah sentiasa membandingkan sesuatu dengan dirinya.
Mereka juga menjadi gila untuk beribadat dan cenderung kepada
perbincangan berkaitan soal mengenal diri dan mula jemu dengan persoalan
yang tidak berkaitan dengan agama. Perubahan ini boleh jadi mendadak
sekiranya kita terjun ke alam tasauf.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Bahawasanya
orang-orang mukmin itu perhatiannya pada solat, puasa dan ibadat dan
orang munafik itu perhatiannya lebih kepada makanan dan minuman seperti
halnya binatang"
"Sedikit taufik adalah lebih baik dari banyak
berfikir dan berfikir perkara duniawi itu mendaruratkan dan sebaliknya
berfikir perkara agama pasti mendatangkan kegembiraan"
Pada
tahap ini sudah mementingkan akhirat dari dunia. Namun begitu walau nak
dibandingkan dengan amarah ia lebih tinggi sedikit, namun sekali-sekala
ia tidak terlepas juga dari jatuh kedalam jurang dosa dan
kejahatan.Imannya masih belum kuat.Namun ia cepat sedar dan cepat
beristigfar minta ampun kepada Allah.
Firman Allah:
"Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah"
Sebagai contoh kalau tertinggal sembahyang terdapat perasaan kecut hati dan cepat menyesal sehingga terus pergi kadha.
Antara sifat nafsu lawwamah adalah:
1. Mencela diri sendiri
2. Bertafakur dan berfikir
3. Membuat kebajikan kerana ria
4. Kagim pada diri sendiri yakni 'ujub
5. Membuat sesuatu dengan sum'ah -agar dipuji
6. Takjub pada diri sendiri
Sesiapa
yang merasa berdegup di hati sifat seperti di atas masih lagi berada
pada tahap nafsu lawwamah. Ianya adalah terdapat pada kebanyakan orang
awam .
Harus kuat berzikir lagi untuk menembus dan menyucikan
sisa-sisa karat hati. Zikir pada peringakat nafsu ini masih lagi dibibir
tetapi kadang-kadang sudah mulai meresap masuk ke lubuk hati tapi dalam
keadaan yang tidak istiqamah. Pada peringkat ini memang sudah timbul
gila beribadat sehingga kadang-kadang merasa dirinya ringan dan
melayang, kadang-kadang macam hilang dirinya. Rasa semacam semut
berderau diseluruh tubuhnya terutama pada bahagian tulang belakang dan
tangannya. Keadaan beginilah menimbulkan keasyikan yang menyeronokkan
dengan amalan zikir dan ibadat lain.
Pada pringkat ini sudah
boleh menerima sedikit ilham hasil dari zauk dan kadang-kadang mengalami
mimpi yang perlu ditafsir kembali oleh guru. Bila berterusan dengan
petua dan amalan yang diberi oleh guru InsyaAllah nafsunya lawwa-mah ini
akan meningkat kepada tahap seterusnya.
3. MULHAMAH
Nafsu
ini lebih baik dari amarah dan lawwa-mah.Nafsu mulhamah ini ialah nafsu
yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat
hati yang tercemar melalui latihan sufi/ tariqat/ amalan guru lainnya
yang mempunyai sanad dari Rasulullah s.a.w.Kesucian hatinya telah
menyebabkan segala lintasan kotor atau khuatir-khuatir syaitan telah
dapat dibuang dan diganti dengan ilham dari malaikat atau Allah.
Firman Allah:
"Demi
nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkan Allah
kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat
kemenanganlah orang yang menyucinya (nafsu) dan rugilah (celakalah)
orang yang mengotorkannya(nafsu)
Makam nafsu ini juga dikenali
dengan nafsu samiah. Pada pringkat ini amalan baiknya sudah mengatasi
amalan kejahatannya. Sifat mazmumah telah diganti dengan mahmudah. Sikap
beibadat telah tebal dan amalan guru terus diamalkan dengan lebih tekun
lagi.
Pada penyesalan pada peringakat lawwamah tadi terus
bersebati di dalam jiwa. Isyarat lawwamah sentiasa subur. Sesungguhnya
taubat orang peringkat mulhamah ini adalah "taubatan nasuha". Bukan shaj
di mulut tetapi hakiki.
Dalam kehidupan sudah terbina satu skap
yang baik,tabah menghadapi dugaan, bila terlintas sesuatu yang ke arah
maksiat cuba-cuba memohon kepada perlindungan dari Allah.
Firman Allah:
"Dan
jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha
Mengetahui.Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa , bila mereka ditimpa
was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketiak itu juga
mereka melihat kesalahan-kesalahan."
Sabda Rasulullah S.a.w:
"Barangsiapa
yang merasa gembira dengan kebaikannya dan merasa susah (gelisah)
dengan kejahatan yang dilakukan, maka itu orang-orang mukmin"
Zikir
pada tahap ini telah menyerap kedalam lubuk hatinya bukan sekadar
berlewa-lewa dibir sahaja lagi. Malah sudah menerima hakikat nikmat
zikir dan zauk. Bila disebur nama Allah rindunya sangat besar, berderau
darahnya dan gementar tubuhnya tanpa disengajakan.
Firman Allah:
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, bagi mereka apabila sahaja disebut nama Allah, nescaya gementarlah seluruh hati mereka"
Perasaan ini terus menjalar sehingga bertemu kekasihnya.
Antara sifat-sifat yang bernafsu mulhamah:
1. Sifat-sifat ketenangan,lapang dada dan tidak putus asa.
2. Tak sayangkan harta
3. Qanaah.
4. Berilmu laduni
5. Merendah diri/ tawwadu'
6. Taubat hakiki
7. Sabar hakiki
8. Tahan ujian dan menanggung kesusahan
Mereka
pada tahap ini mulai masuk ke sempadan maqam wali yakni kerapkali mulai
mencapai fana yang menghasilkan rasa makrifat dan hakikat (syuhud)
tetapi belum teguh dan kemungkinan untuk kembali kepada sifat yang tidak
baik masih ada. Kebanyakan orang cepat terhijab pada masa ini kerana
terlalu asyik dengan anugerah Allah padahal itu hanyalah ujian
semata-mata.
Dalam konteks ilmu pula mereka bukan sahaja
menguasai ilmu qalam malah sudah dapat menguasai ilmu ghaib menerusi
tiga cara laduni iaitu nur, cara tajalli dan cara laduni di peringakat
sir. Yang dimaksudkan dengan laduni peringkat sir ialah menerusi telinga
batin yang terletak ditengah-tengah kepala yang biasanya dipanggil
bahagian tanaffas. Suara yang diterima amat jelas sekali. Tak ubah
seperti mendengar suara telefon. Pada masa yang sama pendengaran zahir
tetap tidak terganggu walaupun masa menerima laduni sir itu ada kawan
berbual. Biasanya suara ghaib itu adalah waliyulah atau ambia yang
merupaka guru-guru ghaib yang bertugas mengajar ilmu ghaib pada mereka
yang diperingkat mulhamah. Tapi perlu ingat guru murysid zahir kita
tetap guru. Malah Guru mursyid kita sebenarnya telah berkomunikasi
terlebih dahulu dengan guru-guru ghaib ini. Sebab tu kalau tak ada
murysid kita akan terpedaya dengan syaitan dan jin yang menyamar.
Pembukaan telinga batin ini pada awalnya berlaku seakan suatu bisikan
suara yang dapat dibahagian dalam anak telinga, dimana pada permulaannya
merasa berdesing. Kemudian barulah dapat dengar jelas.
Zikir tetap meningkat. Pada peringkat inilah Allah berfirman:
"Orang
yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir kepada
Allah.Ingatlah hanya dengan berzikir kepada Allah sahajalah hati menjadi
tenteram".
4. NAFSU MUTMAINAH
Inilah peringkat/
m
artabat nafsu yang pertama yang benar-benar direhai Allah seperti yang
saudara kita nyatakan di atas. Yang layak masuk syurga Allah. Maknanya
siapa sampai pada maqam ini bererti syurga tetap terjamin, InsyaAllah.
Hakikat inilah yang difirmankan Allah:
"Wahai orang yang berjiwa /
bernafsu mutmainnah,pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redhai
meredhai olehNya dan masuklah ke dalam golongan HAMBAKU dan masuklah ke
dalam syurgaKU".
Pada peringkat ini jiwa mutmainnah merasakan
ketenagan hidup yang hakiki yang bukan dibuat-buat. Tidak ada lagi
perasaan gelisah. Semuanya lahir dari tauhidnya yang tinggi dan
mendalam. Tauhid yang sejati dan hakiki. Tidak ada lagi perbezaan senang
dengan susah baginya sama sahaja. Pada maqam inilah permulaan mendapat
darjat wali kecil.
Antara sifat-sifat maqam ini adalah:
1. Taqwa yang benar.
2. Arif
3. Syukur yang benar
4. Tawakkal yang hakiki
5. Kuat beribadat
6. Redha dengan ketentuan Allah
7. Murah hati dan seronok bersedekah.
8. Dan lain-lain sifat mulia yang tidak dibuat-buat.
Pada
maqam ini biasanya(walaupun tidak semestinya), akan adanya
keramat-keramat yang luar biasa serta mendapat ilmu dengan tak payah
belajar sebab sudah dapat mengesan rahsia-rahsia dari LohMahfuz. Adanya
sifat lidah masin. Apa yang keluar dari mulut bukan sembarangan lagi
bahkan menerusi yang dipanggil sebagai 'inkisaf'. Mereka sudah menguasai
ilmu peringkat nur, tajalli, sir dan juga sirussir, iaitu lebih tinggi
dari maqam mulhamah. Yang dikatakan menerusi sirussir ialah cara
penerimaan dengan telinga dan mata batin. Kalau mulhammah tadi baru
terbuka dengan telinga batin tanpa mata batin. Dengan mata batin inilah
dia berupaya melihat sesuatu yang ghaib yang tak mampu dilihat oleh mata
biasa kita. Malah dapat melihat sesuatu yang akan berlaku pada masa
akan datang. Betul-betul macam melihat TV. Malah siap boleh rewind lagi.
Kalau guru kita nak lihat sejarah hidup kita yang lalu biasanya dia
akan memrhati rakaman hidup kita dan mengesan dimana kesilapan kita dan
memberi petua untuk membetulkannya. Kalau mencuri disuruhnya kita
memulangkan kembali serta minta halal dan maaf, dan sebagainya lagi.
Namun begitu dia tetap akan menjaga aib muridnya kepada orang lain.
Perlu dingat pada peringkat ini dia tidak terganggu penglihatan dan
pendengaran zahirnya pada masa sama melihat dan mendengar yang batin
walaupun duduk di kedai kopi bersama-sama orang lain. Melalui penerimaan
sirussir ini dia berupaya melihat alam barzakh, menjelajahi alam alam
malakut. Keyakinan mereka sudah pada tahap ainul yakin dan haqqul yakin.
Fana juga boleh berlaku yang dikenali sebagai "fana qalbi"
iaitu merupakan penafian diri ataupun menafikan maujud dirinya dan
diisbatkan kepada wujudnya Allah semata-mata.Inilah peringkat yang kita
bincangkan dulu mengenai LAA MAUJUD ILLALLAH. Keadaan inilah yang
digambarkan Allah:
"Semua yang ada adalah fana (tiada wujud
hakikinya).Dan yang kekal(baqa) itu adalah wajah Tuhanmu yang mempunyai
kebesaran dan kemuliaan"
Namun fana qalbi ini tidaklah kekal.
5. NAFSU RADHIAH
Maqam
ini dinamakan radhiah kerana perasaan keredhaan pada segala ketentuan
dan hukuman Allah. Pada maqam ini sudah tidak ada rasa takut dengan pada
bala Allah dan tak tahu gembira dengan nikmatNya. Sama sahaja. Apa yang
penting Allah redha padaNya. Itu kalau sakitpun dah tak perlu kepada
ubat, sebab bagi dia sakit itulah nikmat kerana dia merasa makin dekat
dengan tuhannya. Wang ringgit sudah sama dengan daun kayu. Emas sama
dengan tanah. Dunia sudah dipandang kecil , malah sudah tidak dipandang
lagi sebaliknya dunia yang datang kepadanya.
Firman Allah:
"Sesungguhnya wali-wali Allah itu tak rasa ketakutan dan tak pernah rasa kerungsingan di atas mereka".
Ini
kerana nur syhuhud sudah sebati dalam jiwa mereka. Alam sekeliling
seperti cermin yang boleh mereka melihat Allah setiap ketika. Ini adalah
maqam musyahadah tahap ihsan seperti hadis Rasulullah s.a.w:
"Hendaklah kamu menyembah Allah sebagaimana kamu melihatNya..."
INi adalah maqam wali dalam martabat khawas.
Pada masa inilah apa yang diisyaratkan oleh rasulullah s.a.w:
"Takutilah akan firasat orang mukmin, bahawasanya orang-orang mukmin itu melihat dengan Nur Allah".
Pada
tahap radhiah ini ,ia melihat melalui basyirahnya, merenung dengan
kasyafnya , bertindak melalui perintah ilmu laduninya.Mulutnya dan
doanya sangat mustajab.'Barang dipinta barang jadi"
Orang
dimaqam ini kadang-kadang perbuatannya menyalahi syariat.Percakapan
kadang-kadang menyinggung orang biasa yang tak faham tapi dikeluarkan
tanpa sengaja.Masih lagi mengalami fana qalbi.tapi tidak
menentu.Hidupnya ibarat dilambung gelora cinta seolah terapung
bersama-sama Allah.Hanya memandang dan menyaksikan sesuatu bahawa tiada
suatu yang wujud di dunia ini melainkan wajah Allah semata-mata:
Firman Allah:
"Di mana saja kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah
Itu yang terjadi pada Al Junaid:Tiada apa dalam jubahku, melainkan Allah.
Mereka
sudah memandang yang banyak kepada satu.Keadaan inilah boleh
menimbulkan fitnah, malah kadang-kadang orang akan anggap gila. Inilah
maqam Ana'al Haq-Mansur Al-Hallaj.
Zikir pada peringkat ini
adalah secara 'khafi' yang telah meliputi seluruh anggota zahir dan
batinnya. Pada peringkat inilah kulit berzikir, daging berzikir, tulang
berzikir, malah semuanya berzikir. Tu yang jadi darah Al-Hallaj
membentuk tulisan Allah lalu keluar zikir, malah kematian wali-wali
seperti Tok Ku Paloh, masih lagi terdengar zikir di dadannya.
Kadang-kadang mereka dijemput menjelajah alam ghaib kubra yang diluar
akal manusia. Malah mereka di ajar ilmu tinggi yang lebih canggih dari
manusia biasa yang boleh dicapai oleh zaman moden ini. Mereka boleh buat
perhubungan secara langsung dengan para rasul, nabi, ambia dan
waliyullah yang lain. Mereka menuntut ilmu dengan aulia macam berbincang
dengan kawan melalui handphone, malah boleh berinteraksi beramai-ramai
walaupun masing-masing berada di berbeza tempat.
Sifat-sifatnya:
1. Ikhlas
2. Warak
3. Zahid
4. Dan lain-lain lagi yang baik yang ada pada maqam sebelum ini.
6. NAFSU MARDIAH
Pada
peringkat ini segala yang keluar darinya semuanya telah diredhai Allah.
Perilakunya, kata-katanya, diamnya semuanya dengan keredaan dan
keizinan Allah belaka. Akan keluar keramat yang luar biasa. Mereka sudah
menanam ingatan pada Allah diteras lubuk hati mereka menerusi cara
"khafi-filkhafi", maknanya secara penyaksiaan 'basitiah' iaitu
penyaksian sifat ma'ani Allah yang nyata dan dizahirkan oleh diriNya
sendiri. Af'al diri mereka sudah dinafi dan diisbahkan secara langsung
kepada af'al Allah semata-mata.Jiwa mereka betul-betul sebati, ingatan
mereka terhadap Allah tidak sesaatpun berpisah darinya. Penyaksiaan
terhadap hak sifat Allah jelas baginya sehingga hilang dirinya nya
sendiri. Inilah dinyatakan sebagai Abu Yazib Bistami: "Subha Inni.."
"Pandanglah yang satu pada yang banyak"
Peringkat
ini sudah tenggelam dalam fana baqabillah. Pada peringkat inilah suka
mengasingkan diri,tidak suka bergaul lagi dengan makhluk.
Namun
begitu ia mmepunyai kesedaran dua alam sekaligus. Zahir dan batin. Dan
ia akam kemabli normal seperti biasa. Kalau peringkat sebelum ini
mungkin sampai tak terurus.
Konsep perjalanannya lebih kurang dengan radhiah.mereka berpegang kepada konsep:
Firman Allah:
"Apa yang di sisi kamu itu pasti lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal".
Perkataan syatahah sudah hilang.Mereka suka hidup nafsu nafsi.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila
kamu sekalian melihat seseorang mukmin itu pendiam dan tenang , maka
dekatilah ia.Sesungguhnya dia akan mengajar kamu hikmah"
Menyentuh
tentang zikirnya, zikirnya adalah zikir rahsia, tidak lagi ada lafaz
dengan lidah mahupun hati, tapi seluruh anggota zahir dan batin
mengucapkan dengan zikir rahsia yang didengar oleh telinga batin di
maqam tanaffas. Zikirnya tidak pernah terganggu dengan alam zahir
walaupun dia tengah bercakap atau buat apa sahajapun.
Firman Allah:
"Orang-orang berzikir kepada Allah sambil berdiri, sambil duduk dan dalam keadaan berbaring..."
Bagi mereka di maqam ini setiap perbuatan, perkataan, penglihatan dan apa sahaja adalah zikir.
Pada
tahap ini mempunyai kekeramatan yang amat luar biasan. Namun biasanya
jarang sekali menzahirkannya kelebihannya itu. Dari segi ilmu, mereka
sudah memperolehi ilmu semua peringkat sebelum ini iaitu nur, tajalli,
sir, sirussir malah ditambah lagi dengan cara tawasul/yaitu secara jaga
dengan ambia dan waliyullah. Kehadiran wali-wali kepada orang maqam
mardiah ini lebih merupakan penghormatan dan ziarah sahaja. sambil
berbincang-bincang. Mereka berpeluang menjelajah seluruh alam alam maya
dan alam ghaib termasuk syurga, neraka dan sebagainya. Mereka berupaya
melawat bermacam-macam tempat samada dengan pecahan diri batinnya atau
dengan jasad sekali. Malah dalam satu masa boleh menjelma di pelbagai
tempat. Ini dipanggil "Khawa Fulkhawaf". Ianya berlaku tanpa sengaja dan
tanpa dapat dikawal
Sifat-sifatnya:
1. Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah
2. Lemah lembut pergaulannya
3. Elok dan tingginya budi
4. Lain-lain sifat terpuji maqam sebelum ini.
7. KAMALIAH
Maqam
ini adalah tertinggi. Maqam ini digelar sebagai "baqa billah", Kamil
Mukamil", Al Insan kamil kerana ia dapat menghimpunkan antara zahir dan
batin, yakni ruh dan hatinya kekal kepada Allah tetapi zahir tubuh
kasarnya tetap dengan manusia. Hati mereka kekal dengan Allah tak kira
masa dan tempat, tidur atau jaga sentiasa mereka bermusyahadah kepada
Allah. Ini adalah maqam khawas al khawas. Semua gerak geri mereka sudah
jadi ibadat. Hatta berak kencing mereka, tidur mereka dan sebagainya.
Ilmu
mereka adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ghazali, ilham dan ilmu
mukasyafah yang diterima nya tidak bukan adalah sama dengan istilah
wahyu semuanya datang terus dari Allah. Cuma kalau Rasul dan Nabi di
panggil Wahyu dan manusia biasa yang kamil di panggil Ilham.
Saya
rasa sekadar ini lah yang termampu oleh saya. Mungkin ada kelemahan dan
ketinggalan dalam istilah atau pengertian. Wahai Tuan -tuan sila
perbetulkan dan tambah lagi mana-mana yang kurang.Mengenai kaedah zikir
pada maqam-maqam saya rasa ada saudara yang akan menghuraikanya
berpandukan kaedah tariqat masing-masing.InsyaAllah.
Semoga Allah mengampun saya atas segala kesilapan.Dan harap memberi manafaat pada semua.
Sumber rujukan:
Al-Hikam
Ihya Ulumudin
Rahsia Mengenal Diri
Mengenal Diri Dan Wali Allah
Awarif al Ma'arif
Mengenal Ilmu Tasauf
Siapa Wali
Risalatul Qusyairiah
Sirrul Asrar
Perkembangan Tasauf dari Abab ke Abab
Al-Quran dan Al Hadis
Dan lain-lain
No comments:
Post a Comment